Pasukan Bolasepak Alumni Sek. Men. Sultan Abdul Halim, 06009 Jitra, Kedah

Ayah kepada Razmi Mokhtar pulang ke rahmatullah

TINGGAL KENANGAN: Dari kiri, Razmi, Ros Idayu memangku Rosliana, Rosnita dan Mohd Rafizi melihat album keluarga ketika ditemui di rumah mereka di Bandar Indera Mahkota, Kuantan(Petikan dari Berita Harian,Ahad 15-Oktober-2006)

KUANTAN: “Saya seperti tak percaya mak dan ayah meninggal dalam kemalangan pagi tadi (semalam). Saya ingat polis yang datang itu hanya bergurau sebab baru malam tadi, saya bercakap dengan mereka.

“Saya tak boleh bayangkan kehidupan kami lima beradik selepas ini, terutama adik bongsu yang baru berusia setahun dan saya tak tahu macam mana nak sambut raya tak lama lagi tanpa mencium tangan ayah dan mak,” kata Ros Idayu Mokhtar, 19.

Pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) itu gagal meneruskan kata-katanya kerana sebak dan hanya menangis sambil memangku adik bongsunya, Rosliana sementara menunggu ketibaan jenazah bapa, Mokhtar Abdullah, 54, dan ibu tirinya, Royhan Yusoff, 42, dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), pagi semalam.

Pasangan suami isteri itu, terbunuh apabila motosikal mereka dilanggar sebuah lori penyiram pokok milik Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Ubi di sini, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penunggang motosikal, Suwardi Shahidan, 28, cedera ringan.

Mokhtar adalah anggota polis bantuan di pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini.

Selain Ros Idayu dan Rosliana, tiga lagi anak pasangan itu ialah Razmi, 24, kerani di Institut Latihan Sultan Ahmad Shah di Bangi; Rosnita, 22, pekerja am syarikat menjual bahan binaan dan Mohd Rafizi, 15, pelajar Sekolah Menengah Panglima Perang di Bandar Indera Mahkota di sini.

Ros Idayu berkata, dia akan terkenangkan masakan rendang ayam dan ketupat yang disediakan ibu tirinya itu setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Mak adalah ibu tiri kami tetapi dia melayan dan mengasihi kami sama seperti anak kandungnya. Kami menumpang kasihnya selepas ibu kandung meninggal dunia Julai 2003 kerana kanser saraf mata dan sekarang semuanya sudah tiada.

“Terlalu banyak kebaikan dan kenangan manis kami semua bersama. Paling sedih, adik kecil ini seakan tahu mak dan ayah dah tak ada... sejak bangun pagi sampai sekarang, dia tak mahu menyusu,” katanya.

“Baju raya yang disediakan mak untuk kami lima beradik pakai di Aidilfitri akan jadi kenangan sepanjang hayat. Kami pasti sedih dan sayu bila teringatkan arwah ayah dan mak yang sangat sukakan kerepek apabila raya,” katanya.

-->Razmi adalah goalkeeper kepada pasukan Jenoba FC. Kami, pemain-pemain Bolasepak Jenoba FC mengucapkan takziah kepada saudara Razmi.Semoga bersabar & tabah menghadapi dugaan.Al-Fatihah

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Official Liga Alumni website Click here to join SMSAH yahoogroup